Lantik KP Kastam di kalangan orang dalam

Presidennya, Mohd Noor Yusof berkata demikian dengan berpandangan bahawa mereka di kalangan pegawai kastam lebih arif melibatkan sistem di jabatan tersebut.

“Sudah sampai masanya JKDM diketuai mereka dalam kalangan kastam sendiri, kerana hanya kastam yang faham budaya kerja dan teknikaliti jabatan ini lebih-lebih lagi apabila sistem baharu yang akan dilancar Januari tahun depan, sistem U-Customs adalah sangat teknikal,” katanya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad difahamkan akan menamatkan perkhidmatannya pada September ini.

Khazali sebelum ini merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) di JKDM.

Dalam perkembangan berbeza, Mohd Noor turut memohon kepada kerajaan untuk menambah baik skim perjawatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaras dengan kepentingan fungsinya sebagai jabatan pengutip hasil negara.

Menurutnya, berkata permohonan tersebut adalah sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengiktiraf JKDM sebagai wira ekonomi negara melalui pelaksanaan tahun pertama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

“Inilah masanya kecemerlangan JKDM diiktiraf oleh kerajaan dengan menambah baik skim jabatan ini,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Pegawai Kanan Kastam, hari ini.

Antara perkara yang diminta persatuan itu untuk ditambah baik ialah tambahan kepada kekuatan logistik, sistem pengauditan dan kadar bayaran kerja lebih masa.

“Sebagai sesebuah organisasi yang mengutip hasil yang banyak kepada negara kita perlukan logistik yang mencukupi kerana kenderaan JKDM kali terakhir dibeli adalah pada 2006,” katanya.

Jelas Mohd Noor tanpa sistem pengauditan yang baik, jabatan itu tidak akan dapat melakukan pengauditan GST ke atas semua syarikat secara cekap dan menyeluruh.

Mengenai kadar bayaran kerja lebih masa yang ditetapkan kepada pegawai kastam gred WK41 dan ke atas yang dihadkan RM600 sebulan katanya telah memberi kesukaran kepada JKDM membuat pembahagian tugas.

“Had RM600 bayaran kerja lebih masa dalam 10 hari bekerja sudah habis kerana JKDM terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan, oleh itu kita minta agar kadar bayaran ini dikaji semula,” katanya.

Katanya JKDM juga menyambut baik cadangan perdana menteri sebelum ini yang mahu agar jabatan itu dikorporatkan sebagai langkah untuk meningkatkan kecemerlangan penguatkuasaan dan pungutan hasil negara.

“Warga kastam sudah pun buat kajian (berkenaan cadangan pengkorporatan) dan selesaikan beberapa isu dan kini telah sedia untuk dikorporatkan,” katanya. – Bernama

Related Articles