Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata tabung persaraan itu sudah memulakan proses pendaftaran ahli untuk mengubah simpanan konvensional KWSP mereka kepada simpanan patuh syariah.
“Pertuntukan tambahan itu bergantung kepada ketersediaan aset untuk dilabur. Namun secara umumnya, kami melihat kepada trend pertumbuhan aset-aset syariah di Malaysia, dan boleh menjangkakan dapat memperuntukkan RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat KWSP di sini Isnin.
Simpanan Shariah akan dilancarkan pada Januari 2017.
Dana RM100 bilion diperuntukkan untuk Simpanan Shariah 2017 dan ia adalah berasaskan siapa dahulu diutamakan.
“Dari segi peruntukan aset, ia sama dengan dana konvensional sedia ada. Dana syariah ini akan memberi tumpuan kepada penstabilan modal,” katanya.
Sehingga 8.30 pagi ini, 5,000 ahli sudah memohon untuk memindahkan simpanan KWSP masing-masing kepada Simpanan Shariah di 68 cawangannya di seluruh negara.
“Ahli diingatkan bahawa pendaftaran dibuat secara berterusan, namun bagi memenuhi tarikh akhir 2017, anda perlu berbuat demikian selewat-lewatnya pada 23 Dis, dan tertakluk kepada kecukupan peruntukan sedia ada,” kata Shahril Ridza.
Sementara itu, beliau berkata langkah KWSP membenarkan ahlinya memilih untuk melabur dalam dana unit amanah yang 100 peratus dilaburkan di luar negara baru-baru ini, adalah untuk memberi peluang kepada kepelbagaian aset untuk mereka.
“Ia masih sangat baru. Kita tidak dapat melihat jumlah yang besar berbuat demikian pada ketika ini. Bagaimanapun, industri unit amanah juga kini dalam peringkat pelarasan semua portfolionya, dan kami menjangkakan angka itu akan meningkat kelak,” katanya.
Berkuat kuasa 1 Ogos, KWSP membenarkan ahli-ahlinya melabur dalam dana unit amanah yang memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaburan luar negara.
Sebelum ini, KWSP hanya membenarkan pelaburan dalam dana unit amanah yang mempunyai pendedahan asing tidak lebih daripada 30 peratus.
Sehingga Disember 2015, KWSP mempunyai seramai 14.55 juta ahli, dan daripada jumlah itu, 6.79 merupakan ahli yang aktif.
Mengenai prospek bagi 2016, KWSP menjangkakan persekitaran kadar hasil adalah sangat rendah, berikutan persekitaran ekonomi dunia yang lemah dan pulangan kebanyakan dana juga mungkin mencabar.
“Kami akan telus, dan sasaran utama kami (pulangan), ialah inflasi dan tambah dua peratus. Itu kekal sebagai fokus utama kami tahun ini,” kata Shahril Ridza. – Bernama