Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, Ruslan Sarapin, 39, diculik enam lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 26 lagi anak kapalnya di perairan berkenaan kira-kira 9.30 malam.
“Ketika kejadian, kapal nelayan mangsa didatangi sebuah bot laju dinaiki enam lelaki yang antaranya bersenjatakan pistol M14 dan M16.
“Empat suspek kemudian menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum menculik mangsa serta melarikan semua dokumen, barangan peribadi, telefon bimbit milik anak-anak kapal berkenaan,” katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu pada Rabu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati 25 anak kapal berkenaan bukan warganegara Malaysia dan seorang lagi adalah rakyat tempatan.
Abdul Rashid berkata, kumpulan lelaki bersenjata api sama kemudian merompak sebuah lagi kapal nelayan yang dinaiki 19 anak kapal di perairan Tungku, Lahad Datu.
Beliau berkata, dalam kejadian 10.05 malam itu, kapal berkenaan yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan tersebut telah didatangi sebuah bot laju yang dinaiki tujuh lelaki.
“Dalam kejadian itu, tiga lelaki bersenjata api menaiki dan menggeledah kapal berkenaan sebelum melarikan enjin sangkut, beras, minyak masak, pakaian, telefon bimbit dan wang tunai RM300 milik anak kapal.
“Suspek kemudiannya dipercayai melarikan diri menuju ke perairan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah berkenaan adalah suspek yang sama menculik pemilik kapal tunda di Semporna.
Abdul Rashid berkata, jarak kedua-dua lokasi kejadian adalah 5 batu nautika dan hanya mengambil masa kira-kira 30 minit perjalanan menggunakan bot laju.
Beliau berkata, ketika kejadian, kedua-dua kapal berkenaan beroperasi dalam kawasan arahan perintah berkurung dan tidak mempunyai permit pengecualian perintah berkurung daripada Ketua Polis Daerah di kawasan masing-masing.
“Kapal berkenaan juga tidak dilengkapi sistem pengesanan Automatic Identification System (AIS) dan sebarang alat komunikasi yang disarankan oleh pihak berkuasa,” katanya. – Bernama