Kumpul maklumat 43 tahun, itu mustahil – anak Tun Mahathir

KUALA LUMPUR: Dua anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Mirzan dan Tan Sri Mokhzani mengesahkan mereka belum mengemukakan pengisytiharan aset yang diminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan, kedua-dua mereka berkata, adalah mustahil untuk menyediakan maklumat sepanjang 43 tahun lalu sebagaimana yang diminta badan siasatan tersebut.

“Ia terutamanya apabila kita tidak dimaklumkan khusus berkaitan siasatan selain berkaitan dengan bapa kami.

“Tugas mengumpul maklumat selama 43 tahun adalah perkara yang mustahil dan kami minta kesabaran dan pemahaman untuk memenuhi permintaan SPRM,” kata kedua-dua mereka menerusi kenyataan yang dikeluarkan peguam mereka, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid.

Kenyataan satu muka surat itu memberikan respon kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang memaklumkan mereka belum menyerahkan pengisytiharan aset yang diminta.

Azam dipetik berkata, pihaknya sudah menyerahkan notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 kepada Mirzan dan Mohkzani pada bulan lalu.

Dalam pada itu, Mokhzani dan Mirzan berkata, perlu ada sekatan bagi semua pihak berkaitan untuk mengulas mengenai siasatan terhadap mereka.

“Ingin dijelaskan SPRM memberi kami tempoh 30 hari untuk menyerahkan senarai aset sejak 1981 iaitu pada tahun bapa kami, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

“Kami dalam proses menyediakan maklumat dengan pihak berkaitan bagi membantu dan menasihati kami dalam proses berkenaan,” kata keduanya lagi.

Pada 18 Januari lalu, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.

Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – MalaysiaGazette

Related Articles