KPT Sedia Bantu Urusan Pelajar Maut Dan Cedera Kemalangan Di New Zealand

LUMUT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedia membantu keluarga lima pelajar yang maut dan cedera dalam nahas kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bagaimanapun berkata, KPT akan memberi ruang terlebih dahulu kepada keluarga mangsa untuk berbincang sebelum membuat keputusan berkenaan tindakan seterusnya.

Ujar beliau, ia termasuklah urusan membawa pulang dua jenazah pelajar yang maut serta keperluan tiga lagi yang cedera yang sedang dirawat di hospital.

“Saya mendapat perkhabaran kemalangan melibatkan pelajar Malaysia di New Zealand, dan sehingga kini kita belum mendapat maklumat lengkap berkaitannya.

“Bagaimanapun pihak KPT akan mendapat maklum balas daripada Kementerian Luar Negeri serta Wisma Putra dan bagi pihak kementerian saya menyampaikan takziah kepada semua keluarga pelajar-pelajar yang terlibat.

“Pihak kementerian juga akan memudahkan serta membantu perkara-perkara yang berkaitan keperluan bagi memastikan supaya proses termasuk proses penghantaran jenazah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Lumut di Maahad Tahfiz Bayt Al Ikhlas, Kampung Padang Tembak di sini hari ini.

Ditanya mengenai tiga lagi pelajar yang dilaporkan cedera, Zambry berkata, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini mengenai status serta keadaan mereka.

“Kita akan dapatkan Wisma Putra serta Pengarah Pendidikan Tinggi bagi mengambul tahu keadaan mangsa dan kawasan berkenaan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan lima pelajar Malaysia dilapor terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lake Tekapo, New Zealand, dimana dua daripada lima mangsa meninggal dunia.

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington, New Zealand dalam kenyataan berkata, dua mangsa dilaporkan terkorban di tempat kejadian manakala tiga lagi sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch, South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

Difahamkan dua mangsa yang terkorban itu ialah pelajar dari University of Canterbury iaitu Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa.

Sementara tiga yang lain ialah Nur Firas Wafiyyah (University of Canterbury), Muhamad Faris Mohd Fairusham (Victoria University of Wellington) dan Lya Issable Anak Walton (University of Canterbury). – MalaysiaGazette

Related Articles