KPN sahkan khidmat pengiring Dr Mahathir ditarik balik

Khalid berkata, penarikan khidmat pengiring trafik itu dibuat ekoran tindakan Mahathir yang menyertai demonstrasi Bersih, perhimpunan bantah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan mengutip tandatangan untuk Deklarasi Rakyat.

Beliau bagaimanapun berkata, khidmat pengawal pengiring iaitu pegawai polis dari Unit Tindakan Khas bagi Dr Mahathir masih diteruskan.

“Cuma khidmat pengiring trafik yang telah dihentikan dan kita tidak pernah mahu menarik balik khidmat pengawal pengiring atau ‘Bodyguard’ Tun M … jadi keselamatan beliau sentiasa lagi dikawal oleh pegawai polis,” katanya, pada Rabu.

“Saya telah menarik balik khidmat pengiring trafik untuk Tun Mahathir, itu adalah atas keputusan saya sebagai Ketua Polis Negara. Apa guna kita memberi iringan trafik terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang dan perlembagaan, kita tidak dapat menyokong apa juga perbuatan yang melanggar undang-undang negara,” katanya.

“Oleh itu saya berharap Tun M faham terhadap kedudukan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang mendukung Rukun Negara. Jadi kalau ada pihak yang melanggar undang-undang, macam mana kita nak sokong,” katanya.

Negarawan itu katanya masih boleh membuat permohonan kepada PDRM sekiranya mahu menggunakan pengiring trafik ketika menghadiri sesuatu acara rasmi.

“Sekiranya Tun M mahukan khidmat itu (pengiring trafik), permohonan perlu dikemukakan kepada saya terlebih dahulu dan kita akan beri khidmat iringan trafik jika majlis yang akan beliau hadiri adalah acara rasmi kerajaan serta tidak melibatkan pelanggaran mana-mana peruntukan undang-undang dan perlembagaan,” katanya.

Khalid juga memberi amaran keras kepada pihak tidak terlatih yang secara sukarela cuba memberi perkhidmatan pengiring bermotosikal kepada Mahathir.

“Tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri mereka, tetapi turut membahayakan orang lain kerana mereka tidak terlatih untuk membuat iringan kepada orang kenamaan dan tindakan itu jelas menyalahi undang-undang,” katanya.

Related Articles