PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu anggotanya yang tidak mematuhi peraturan dan terlibat kes salah laku “berambus” daripada pasukan keselamatan itu.
Sambil memetik slogan sering diulang bahawa “polis dan masyarakat berpisah tiada”, Razarudin melahirkan kekesalan kerana ada dalam kalangan anggotanya terbabit “satu atau dua” kes salah laku.
“Sekarang bukan lagi seperti zaman dahulu seolah-olah polis raja di Malaysia, no way. Sekarang misi dan visi kita dengan logo tangan bersalaman dan logo amalan anti rasuah, slogan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ semua ada, memang kita bekerja untuk masyarakat.
“Tetapi seolah-olah apa yang berlaku iaitu satu atau dua kes ini seolah-olah menyusahkan masyarakat, memang terlihat menyusahkan masyarakat dan apa yang kita pakai pada seragam polis ini seolah-olah macam tak betul.
“Patutnya tanggalkan semua logo-logo yang ada pada seragam itu kemudian berambuslah sekali, janganlah lepas tanggal masih ada lagi dalam pasukan polis,” katanya. -FMT