KPN Beri Amaran Berhenti Main Isu Stoking Tertera Kalimah Allah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi amaran supaya tidak ada lagi pihak mengambil tindakan menyalahi undang-undang dan memperbesarkan lagi isu berhubung kes stoking tertera kalimah Allah.

Katanya, Malaysia mempunyai undang-undang dan semua perlu mematuhi undang-undang itu walaupun isu berkenaan menimbulkan rasa marah umat Islam di negara ini.

Jelas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah pun selesai menjalankan siasatan berhubung kes itu dan pelakunya juga sudah dibawa ke muka pengadilan.

“Seperti yang dikatakan Datuk Seri Shuhaily (Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman) sebelum ini, kes ini sudah selesai. Maka tak payahlah kita nak memperbesarkan lagi isu stoking dengan kalimah Allah. Saya nasihatkan supaya isu-isu sebegini tidak lagi dimainkan.

“Ia akan mendatangkan kegusaran dan ketidaktenteraman, itu perkara yang tidak baik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian kedai serbaneka KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor, Perak dibaling ‘molotov coctail’ atau bom petrol pada Selasa lalu.

Insiden dipercayai rentetan kejadian 13 Mac lalu, yang mana tular dalam media sosial stoking tertera kalimah ‘Allah’ dijual di KK Super Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Terdahulu, Razarudin menyaksikan upacara serah terima tugas jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Allaudeen Abdul Majid yang bersara wajib dengan Datuk Rusdi Mohd Isa.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak supaya berhenti memainkan isu-isu membabitkan ketegangan agama dan kaum termasuk di media sosial.

“Kita sedang memantau semua platform media sosial untuk mengesan sebarang hantaran berkaitan isu ini yang boleh membangkitkan marah di antara kaum dan agama. Perkara sedemikian memang dipantau di setiap media sosial.

“Jika ada laporan polis, kita akan siasat. Tak perlu ada lagi yang tidak berpuas hati seperti membaling molotov di KK Super Mart, semua itu tidak perlu,” katanya.

Tegas beliau, PDRM sudah pun mengambil tindakan sewajarnya, justeru masyarakat tidak perlu melangkaui undang-undang dengan mengambil tindakan sendiri.

“Malaysia ada undang-undang, maka kita patuh pada undang-undang. PDRM akan sentiasa memantau dan menentukan bahawa yang berhak, dia akan berhak,” katanya.

Kelmarin, Bukit Aman memberi amaran keras kepada semua pihak supaya berhenti memanaskan isu berkaitan 3R yang merujuk kaum, agama dan raja, khususnya dalam isu terkini membabitkan penjualan stoking kalimah Allah oleh KK Super Mart

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dalam sidang media, kelmarin menyarankan semua pihak supaya ‘stand down’ (kembali bertenang) berikutan tindakan undang-undang dalam isu berkenaan sedang berjalan.

“Bawa bertenang, jangan burukkan keadaan, cukup-cukuplah,” katanya.

Pada Selasa, tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam. -Berita Harian

Related Articles