KPM tubuh pasukan khas selaras sistem prasekolah

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan (KPM) mewujudkan pasukan khas untuk menyelaras semula sistem pendidikan prasekolah bagi mempercepat reformasi pendidikan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, KPM mahu memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah seperti dari segi pembelajaran serta sukatan pelajaran dapat diselaraskan bawah kementerian.

“Agenda kita adalah untuk memastikan kurikulum dan juga isu-isu prasekolah dapat kita selaraskan semuanya bawah KPM, sebab itu baru-baru ini, mesyuarat jawatankuasa pasukan petugas khas sudah berlangsung bagi membincangkannya.”

“Kita akan maklumkan dari semasa ke semasa perkembangan yang berlaku dan dijayakan dalam konteks prasekolah ini,” katanya kepada pemberita selepas sebuah majlis di Nibong Tebal hari ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Jemaah Menteri pada 24 Jan lepas memutuskan agar sistem pendidikan prasekolah di seluruh negara diselaraskan semula supaya kualiti pendidikan awal kanak-kanak itu lebih terjamin dan menyeluruh.

Sehubungan itu, KPM sudah diarahkan untuk melaksanakan penyelarasan semula sistem pendidikan itu.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM telah selesai menyiasat kejadian kes buli di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) yang berlaku pada September lepas dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“KPM telah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneruskan apa saja tindakan kerana di peringkat KPM kita telah selesai (jalankan siasatan) … kita tunggulah tindakan daripada pihak berkaitan,” katanya.

Dalam kejadian pada 24 Sept 2023, seorang pelajar tingkatan empat sekolah berasrama penuh itu cedera dan terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar selepas mendakwa diserang empat pelajar senior. -Bernama

Related Articles