KPDN Nafi Subsidi Tepung Gandum Ditamatkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan pemberian subsidi tepung gandum bernilai RM40 juta, ditamatkan.

Timbalan Menteri, Fuziah Salleh, berkata peruntukan bagi tujuan itu sebaliknya dialihkan ke butiran perbelanjaan program Payung Rahmah membabitkan dana keseluruhan RM200 juta.

Beliau memaklumkan dana bernilai RM40 juta bagi pemberian subsidi barang itu tidak pernah dituntut, sebelum ini.

“Pada Bajet 2023 ada butiran 040600 iaitu subsidi tepung gandum kegunaan am (bernilai) RM40 juta, manakala Bajet 2024, butiran ini tiada dan ditanya dalam dewan, sebelum ini.

“Ketika itu saya menggulung (perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024) peringkat Jawatankuasa (bagi KPDN). Semak hansard sebab saya ada jawab, saya ingat Rasah (Cha Kee Chin) yang bertanya.

“Sudah beberapa tahun ia tak pernah dituntut kerana tiada kilang mahu menghasilkan tepung gandum kegunaan am, selain rakyat pun tak pernah minta… yang keluar tepung pelbagai cap,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai penamatan pemberian subsidi tepung gandum kegunaan am, pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Subsidi tepung gandum kegunaan am merangkumi pengagihan kuota dan bayaran tuntutan subsidi kepada pengilang tepung gandum bagi memastikan tepung gandum bersubsidi dijual pada harga runcit RM1.35/kg.

Program subsidi tepung gandum kegunaan am membabitkan pengilang tepung gandum dan syarikat perbekalan khas yang diluluskan di bawah Jawatankuasa Induk Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (JIPSTG). –Berita Harian

Related Articles