KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menafikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar dipecat, sebaliknya diturunkan pangkat kerana masalah prestasi tidak memuaskan.
Katanya, tindakan itu perlu diambil demi kebaikan industri pelancongan negara.
“Kalau dia tidak boleh kerja jangan buat malu kementerian atau Tourism Malaysia…pergi main simpati, jangan kata dia kena pecat. Saya kata turun jadi timbalan ketua pengarah. Memang Mac tahun depan dia pencen.
“Demi kebaikan industri pelancongan Malaysia saya tak boleh biarkan sampai Mac baru ambil tindakan, nak merancang balik semula,” katanya selepas majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2024.
Semalam, Ammar yang 36 tahun bersama kementerian mengesahkan perkhidmatannya ditamatkan dan memberitahu menerima surat daripada Tiong.
Katanya, surat itu menyatakan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa 26 Feb selepas dilantik sebagai ketua pengarah pada April tahun lalu.
Sementara itu, Tiong menegaskan pihaknya sudah memberi banyak peluang kepada Ammar untuk membuktikan kemampuan namun gagal.
“Saya memang sudah bagi banyak kali peluang dan nasihat, bukan saya sahaja termasuk timbalan saya. Saya minta pandangan apa terbaik untuk negara kita, atas pelancong-pelancong, (tapi) saya tak tahu, dia tiada idea atau dia tak tahu buat (kerja).
“Bila kamu sudah tidak menunjukkan prestasi yang baik, kamu mesti ditukar. Saya tidak pecat, saya hanya turunkan pangkat sahaja,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan kelemahan Ammar banyak pihak termasuk pentadbiran negeri merungut kepada kementeriannya.
“Dia tidak ada libat urus dengan negeri, saya beritahu mesti buat libat urus, jadi negeri pun merungut. Kenapa jadi begitu?
“Siapa tidak menunjukkan prestasi yang baik, turunlah…beri peluang kepada orang lain. Tiada kaitan isu perkauman sebagainya,” katanya.
Katanya, antara contoh kelemahan Ammar adalah tiada destinasi baharu untuk pelancongan selain gagal menarik bilangan pelancong ke Malaysia
“Kita terima kedatangan pelancong dari China 1.2 juta sahaja sedangkan Thailand menerima 10 juta. Kenapa tidak meningkat, kenapa Malaysia tiada perubahan?
“Dia ikut saya pergi mengadakan promosi (Malaysia ke luar negara) sekali, saya minta dia ‘follow up’ tapi di tidak pergi ‘follow up’,” katanya.
Tiong menjelaskan tindakan terhadap Ammar dibuat mengikut proses dan bukan penyalahgunaan kuasa sebagai menteri.
Menurutnya, kementerian sudah mempunyai pengganti untuk mengisi kekosongan itu namun tidak memberikan butiran lanjut. -Free Malaysia Today