Komen Isu Pengampunan Najib, Tony Pua Dipanggil Ke Bukit Aman Hari Ini

by Anis

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berhubung kenyataan Tony Pua yang disyaki menghina institusi diraja yang dimuat naik di laman Facebook.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kenyataan menghina Sultan Pahang berhubung pengampunan yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dikesan dikeluarkan oleh pemimpin politik itu.

“Kenyataan itu berbunyi: ‘trust me. It’s not a scam’, ‘oh wow, after all these years, NAJIB/UMNO cybertrooper still love me’, ‘I beg your pordon?’, ‘can someone sent me to jail and for 1 year and in exchange, pay me RM50 mil?’, ‘Preety please?’, ‘King Klep pardoned!!

’“Kenyataan seperti ini bersifat menghasut orang ramai agar membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya sebagai Ketua Negara di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Razarudin, siasatan sedang dijalankan secara terperinci oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.Tambah beliau, siasatan terhadap Tony Pua dikendalikan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Razarudin berkata, berikutan laporan polis yang diterima serta kertas siasatan yang dibuka, Tony akan dipanggil ke Bukit Aman pada jam 1 tengah hari esok bagi membantu siasatan.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat salah sehingga boleh mengganggu proses siasatan pasukan polis atau menyebabkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related Articles