KKM Tambah Baik Fasiliti Kesihatan Untuk Pesakit Kanser Kanak-Kanak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluas dan menambah baik fasiliti kesihatan sedia ada dalam usaha memberikan rawatan terbaik kepada pesakit kanser, khususnya kanak-kanak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu perlu untuk meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak yang sedang mendapatkan rawatan, selain memastikan celik terhadap pendidikan kanser.

“Kanser ialah penyakit yang semakin meningkat di Malaysia, terutama melibatkan golongan kanak-kanak. Lebih 700 kanak-kanak berumur bawah 15 tahun didiagnosis dengan penyakit itu setiap tahun atau secara puratanya dua kanak-kanak setiap hari,” katanya.

“Namun dengan kemajuan rawatan sedia ada, peluang untuk pesakit kanak-kanak ini pulih, meningkat secara mendadak dengan lebih 70% telah sembuh. Jadi KKM akan mencari kaedah terbaik bagi memberikan rawatan kepada pesakit kanser kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Karnival dan Kolokium National Childhood Cancer Alliance 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri 200 pesakit kanser kanak-kanak bersama ibu bapa mereka.

Karnival dan kolokium yang membawa tema “Ketahanan dan Keberanian: Membangun Kembali Kehidupan Pasca Kanser Kanak-Kanak” itu mengetengahkan perjalanan rawatan pesakit kanser kanak-kanak yang telah pulih, termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi mereka dan keluarga.

Pada majlis itu. Lukanisman turut menyampaikan anugerah wira National Childhood Cancer Alliance (NCCA) kepada golongan profesional dan sukarelawan bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka dalam meringankan beban yang ditanggung pesakit kanser kanak-kanak dan keluarga mereka.

Lukanisman juga menyeru sektor korporat bekerjasama dengan KKM dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit kanser dalam kalangan kanak-kanak.

“Pesakit kanser kanak-kanak perlu diberikan perhatian seperti kanak-kanak biasa lain, baik dari segi kasih sayang dan pembelajaran. Diharapkan pejuang-pejuang kanser ini dapat menunjukkan kepada orang lain bahawa kanser bukanlah suatu pengakhiran.

“Kepada penjaga kanak-kanak ini, diharapkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan perhatian dan masa untuk menjaga dan mendidik kanak-kanak ini,” katanya. -Bernama

Related Articles