KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbang langkah menyediakan kawasan khas merokok khususnya bagi premis makanan di kawasan sempit.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, berkata premis di kawasan sempit agak sukar bagi mematuhi jarak 3m untuk merokok yang dikuatkuasakan ketika ini.
“Kementerian Kesihatan mengambil pertimbangan hal ini, kita sedia maklum kalau 3m jarak (merokok) dari premis makanan, sudah hampir dengan premis lain.
“Kami pasti akan mempertimbang keperluan mengadakan tempat tertentu seperti negara maju lain iaitu Singapura, Jepun dan Hong Kong di mana mereka punya tempat yang diizinkan untuk merokok,” katanya kepada pemberita pada Sesi Perjumpaan Meja Bulat sempena Program Tinjauan Mesra Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs).
Mengulas lanjut, beliau berkata perkara itu bukan satu langkah mengundur ke belakang sebaliknya bagi memastikan larangan merokok pada jarak 3m dari premis makanan dipatuhi.
“Kami akan ambil pertimbangan yang serius supaya kawasan sempit seperti di Jalan Alor, Bukit Bintang ada tempat khas untuk perokok,” katanya.
Dzulkefly juga berkata, Jalan Alor akan dijadikan sebagai model peranan bagi Kuala Lumpur Street Food yang mematuhi tahap kebersihan serta larangan merokok di premis makanan dan kawasan penjaja.
Beliau berkata, justeru program tinjauan mesra yang buat julung kalinya diadakan memilih Jalan Alor, yang merupakan pusat tarikan pelancong, dalam usaha memberi kefahaman, sokongan dan pematuhan masyarakat terhadap usaha ini.
“Malam ini kita ambil langkah dekati pemilik untuk memastikan agenda kempen premis BeBAs dapat dijayakan.
“Sepanjang tinjauan mesra tadi juga, tiga premis mendapat pengiktirafan premis ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS)…program ini sudah pasti akan diperluas ke tempat lain seperti Putrajaya, Ipoh dan Pulau Pinang berlandaskan apa yang ada di Jalan Alor,” katanya. -Bernama