KK Mart Tunggu Nasihat Polis Sebelum Naikkan Kain Rentang Mohon Maaf

KUALA LUMPUR: Pengurusan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) sedang menunggu nasihat daripada pihak berkuasa sebelum memulakan sebarang tindakan sebagaimana gesaan daripada pihak-pihak tertentu.

Ahli Lembaga Penasihatnya, Muhammad Haikal Daniel Khairal Abidin berkata, langkah itu diambil memandangkan isu yang tular membabitkan pasar raya itu kini sedang dalam siasatan polis.

Jelasnya, beliau belum pasti dengan pihak mana di jabatan itu untuk berurusan dan setakat ini pengurusan KK Mart hanya menanti langkah seterusnya.

“Kami cuba dapatkan advise (nasihat) pertama sekali daripada pihak berkuasa, sebab perkara ini sedang dalam siasatan.

“Buat masa ini kita hanya mendapat banyak panggilan,” katanya tanpa menyatakan pihak-pihak yang membuat panggilan itu.

Beliau dihubungi MalaysiaGazette bagi mendapatkan respon berhubung gesaan Pergerakan Pemuda UMNNO yang meminta agar semua 881 cawangan kedai serbaneka itu memasang kain rentang bagi memohon maaf atas penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’.

Malah, ada juga pihak yang meminta agar rangkaian KK Mart menutup operasinya di seluruh negara selama 14 hari sebagai tanda permohonan maaf.

Sementara itu, ditanya sama ada pihaknya ada menerima sebarang ugutan atau ancaman yang boleh dikaitkan dengan perkara terbabit, Muhammad Haikal Daniel berkata: “Alhamdulillah tidak ada setakat ini,”.

Tambahnya, pengurusan KK Mart berkemungkinan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat susulan perkara itu setelah mendapat arahan daripada pihak-pihak terbabit.

Related Articles