Kitab lama kena duduk diam-diam – Zahid

by SM Amin

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai kitab lama, pemimpin tersebut seharusnya menjadi rujukan oleh generasi kini walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan.

“Cukup-cukuplah bila zaman kita telah berlalu. Kalau kita sudah jadi sebuah kitab yang tidak boleh dibaca, generasi kita tidak akan mengoyakkannya…kita akan letak di atas, jika berhabuk pun akan dicuci.

“Tetapi kitab lama kena duduk diam-diam. Jangan jadi kitab di lantai yang mengotorkan.

“Tetapi saya tidak merujuk sesiapa, sekadar mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan,” katanya semasa berucap merasmikan Malam Sumbangsih Umno Paya Besar 2016 di sini, malam tadi.

Majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan ahli Umno bahagian itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Ketua Umno Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail dan 3,600 ahli parti.

Tambah Zahid lagi, pemimpin lama perlu menghargai semua pemimpin baharu yang telah diberikan kepercayaan, amanah dan mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.

“Apabila zaman kita berlalu jangan ingat bahawa kependirian, kedudukan dan keberadaan kita selama ini disebabkan oleh kebijaksanaan dan kekuatan kita semata-mata atau sumbangan yang kita lakukan.

“Ingatlah ketika pemimpin dan organisasi itu diuji. Bagaimana semasa organisasi terbahagi dua dan terpaksa didaftarkan semula. Itu semua sejarah.

“Generasi kita perlu perkukuhkan semula parti kerana apabila kita kuat baharu institusi kepimpinan akan kuat,” katanya.

Related Articles