Kata Mahathir, PAS menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan kerana turut dianggotai oleh DAP dan Amanah tetapi pada masa yang sama berada dalam kerajaan negeri Selangor yang turut mempunyai wakil dari kedua-dua parti itu.
“PAS sedikit keliru, pada masa ini mereka sebahagian daripada kerajaan Selangor yang ada DAP. Pada masa yang sama mereka tak mahu bersama kita.
“Saya rasa mereka kena tetapkan keputusan, kita tunggu mereka dan kemudian kita akan putuskan. Kita kena tunggu sampai mereka tidak keliru,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perasmian Konvensyen Amanah di SACC, Shah Alam, pada Sabtu.
Menurut beliau, mana-mana parti yang menjadi punca pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum akan datang sebenarnya menyokong Barisan Nasional.
Sementara itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyifatkan tindakan PAS enggan memberi kerjasama kepada pembangkang hanya akan menyukarkan usaha untuk mereformasikan Malaysia daripada pentadbiran yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Bila diucapkan keputusan muktamad sedemikian, ia tidak membantu rakyat dalam usaha dan komitmen kita untuk selamatkan masa depan.
“Jadi saya ingatkan sekali lagi, beri keutamaan perkara yang lebih penting. Ini masa depan kita. Kita perlu bersatu,” tegasnya.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang pernah menjadi Timbalan Presiden PAS turut merasa hairan dengan sikap PAS yang sudah berubah, tidak seperti ketika beliau berada dalam parti itu.
“Saya melihat dari jauh dengan penuh kerinduan dan kasih sayang.
“Kenapa mereka jadi begitu. Itu persoalannya,” ujarnya.