BATU PAHAT: Sehari selepas diserbu pihak berkuasa, kilang yang terbabit dengan kontroversi pengedaran stoking tertera kalimah Allah menutup operasinya bermula hari ini.
Penutupan kilang di kawasan perindustrian Sri Gading di sini, itu dilakukan sehari selepas pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan terhadap kebimbangan mengenai kebocoran data peribadi pegawai di syarikatnya serta ancaman mahu membakar premis itu.
Notis penutupan itu dimaklumkan menerusi notis yang ditampal di pintu utama tanpa memaklumkan tarikh penyambungan semula operasi.
Bagaimanapun, penutupan itu dipercayai bertujuan meredakan keadaan dan melindungi keselamatan pekerja susulan tekanan serta desakan supaya membuat permohonan maaf terbuka atas tindakannya.
Sehelai kain rentang kelihatan digantung pagar utama kilang terbabit yang tertera permohonan maaf kepada rakyat Malaysia atas kejadian berkaitan stoking memaparkan kalimah Allah yang ditemui di kedai serbaneka di Bandar Sunway, baru-baru ini.
“Kami dengan ikhlas memohon maaf atas kejadian itu hingga menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat,” bunyi tulisan di kain rentang terbabit.
Dalam permohonan maaf itu, pihak pengurusan turut menyenaraikan tiga perkara utama iaitu berjanji atas komitmen untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang agama, memelihara keharmonian dan meningkatkan usaha kawalan kualiti.
Semalam, polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan dan pemeriksaan sebelum menemui lima pasang stoking tertera kalimah Allah.
Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kelima-lima stoking itu adalah yang dipulangkan tiga kedai KK Mart ketika kontroversi bermula.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihaknya menerima sembilan laporan yang dibuat di daerah itu, setakat ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mengambil keterangan mereka yang terbabit mengendalikan operasi kilang terbabit.
“Kita dalam proses mengambil keterangan pemilik dan pekerja yang berurusan mendapat bekalan stoking berkenaan.
“Pagi ini kita buat tiga rakaman percakapan untuk melengkapkan siasatan berhubung kontroversi itu,” katanya. –Berita Harian