Khalid Ibrahim ajar Rafizi sensitiviti pasaran

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, pengurusan pelaburan bagi syarikat-syarikat ternama negara seperti Lembaga Tabung Haji perlu mengambil kira sensitviti pasaran dalam menguruskan butiran saham dan aset yang dimiliki. 

Beliau berkata demikian dipercayai merujuk kepada tindakan Rafizi sebelum ini yang mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mendedahkan butiran status kewangan dan aset sebenar Tabung Haji (TH).

“Saya pengurus syarikat lebih besar daripada TH, kalau ditanya nilai saham dalam PNB (Permodalan Nasional Berhad) naik ataupun turun, saya memang tidak akan jawab kerana perkara itu akan jadi kesan kepada pasaran saham.

“Sensitiviti pasaran ini sangat penting dalam pengurusan pelaburan. Kalau orang tahu strategi kita, kita akan rugi malah strategi ini dipanggil insider knowledge (maklumat dalaman) yang sangat perlu dijaga dalam pengurusan saham,” katanya, ketika mencelah semasa sesi penggulungan titah Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat, Parlimen pada Khamis.

“Kita kena tahu juga bagaimana nak menolong (pendeposit) dengan cara tidak merosakkannya (reputasi TH), itu sangat penting,” katanya.

Abdul Khalid turut mencadangkan TH menjelaskan secara lebih terperinci butiran kewangan TH dengan sekurang-kurang meletakkan nisbah yang mudah difahami orang ramai seperti yang dilakukan oleh syarikat insurans.

“LTH kena terangkan dengan cara begini. Kalau cerita jumlah wang billion-bilion, orang tak tahu, orang lupa. Yang senang, contoh kita ada RM100, kita hanya jaga simpanan RM70,” katanya.

Related Articles