Khalid akui masih terima ugutan IS

Beliau berkata, ancaman terbaharu diterimanya lima hari lepas. ‎

“Saya masih menerima ancaman ini (IS) namun itulah lumrah sebagai seorang‎ ketua yang menjaga keselamatan negara.

“Saya juga menjangkakan perkara ini dan ia bukanlah perkara yang baharu. Tiada apa yang perlu dirisaukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Cawangan Khas Bukit Aman pada Isnin.

Menyentuh penemuan objek dipercayai bom buatan sendiri di dalam kawasan semak berhampiran rel kereta api di Jalan Kolam Air 9, Sentul, pada 13 Julai lalu, Khalid berkata, ia tidak mempunyai kaitan dengan IS.

“Setakat ini, penemuan objek terbabit sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas dan ia hanyalah merupakan masalah dalaman.

“Bagaimanapun, polis telah menemui beberapa petunjuk yang boleh membantu siasatan,” katanya.

Khalid berkata pihaknya akan sentiasa mengambil langkah membuat kawalan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai yang mungkin menjadi sasaran ancaman kumpulan pengganas. – Bernama

Related Articles