Khaled Nordin sanggah Dr Mahathir, konsep Bangsa Johor wujud sebelum merdeka

Khaled berkata, pendiriannya selari dengan pendirian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan menasihati mantan perdana menteri itu tidak perlu bersuara dalam perkara yang tidak difahaminya.

“Saya mempunyai pendirian yang berlainan dan menyanggah dengan tegas kenyataan tersebut.Pendirian saya adalah selari dengan pandangan DYMM Sultan Johor berhubung perkara ini.

“Kepada Tun Dr Mahathir, saya beranggapan tidak perlulah untuk beliau bercakap dan mengulas tentang perkara yang bukan menjadi bidang kearifannya. Sesuatu yang beliau tidak dapat hargai atau jiwai,” kata Khaled, dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kebangkitan nasionalisme Johor, dalam apa cara sekalipun, tidak bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia kerana Johor adalah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia dan akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan persekutuan.

Namun, hubungan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan mesti diterjemahkan selayaknya atas semangat sebuah persekutuan dan bukannya sebagai sebuah negara satuan atau ‘unitary’, kata Khaled.

Khaled berkata, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju,harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik. Malah ia akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik dan dengan sendirinya akan mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat.

“Nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya. Seawal 1920-an apabila DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu beliau menyeru agar Dr Mahathir menerima kebangkitan nasionalisme Johor dan Bangsa Johor ini sebagai sebahagian dari kepelbagaian dan kerencaman Malaysia.

“Malaysia mempunyai pelbagai cerita dan pelbagai cerita terbaik. Kemajmukan inilah yang menjadikan Malaysia kuat dan istimewa.

“Saya menyeru semua pihak untuk meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya. Ia harus menjadi pacuan moral untuk kita lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secara progresif dan sihat.

“Kami di Johor akan terus berbangga memelihara dan berusaha mempertahankan segala warisan dan konsep yang boleh menjayakan dan menyatakan segenap rakyat negeri ini,” katanya.

Related Articles