Khairul Azwan pertahan tindakan, lapor polis

Menurut Sinar Harian, beliau berkata, apabila Ketua Polis Negara memaklumkan pihaknya tidak akan meneruskan siasatan terhadap tiga individu tersebut sementara beliau juga tidak dikenakan tindakan, bermakna laporan yang dilakukannya juga mempunyai kredibiliti.

Julai lalu, Khairul Anwar membuat laporan polis tersebut terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Khairul Azwan juga memberitahu sehingga kini tiada mana- mana pemimpin yang menghubunginya untuk mempertikai tindakannya membuat laporan polis terhadap tiga individu tersebut.

“Tak ada seorang pemimpin ataupun individu Umno yang telefon atau SMS mempertikaikan tindakan saya itu. Ini menjadi suntikan semangat kepada saya untuk mempertahankan laporan polis yang saya buat terhadap tiga individu ini dan pendirian saya ini tidak akan berganjak.

“Yang mencaci memang banyak, tetapi cacian dan kejian hanya di media sosial sahaja,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Telok Kemang di sebuah hotel, di Port Dickson pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abd Samad; Ketua Wanita Umno Bahagian, Safiah sidek; Ketua Pemuda Bahagian, Mohd Najib Mohd Isa dan Ketua Puteri Bahagian, Rozana Abu Sarim.

Dalam perkembangan lain, Khairul Anwar turut mendesak pihak berkuasa menyiasat individu yang dimaksudkan sebagai Malaysian Investigator (penyiasat Malaysia) dalam laporan Wall Street Journal (WSJ).

“Dalam hal ini, kita perlu badan tertentu untuk bantu kita mencari kebenaran.

“Siapa yang dimaksudkan sebagai penyiasat Malaysia, ia membabitkan seseorang ataupun satu badan.

“Jadi ahli Umno dan rakyat yang cintakan keamanan yang mendukung sistem demokrasi, kita berhak untuk mengetahui siapa yang dimaksudkan oleh WSJ itu apabila menyebut penyiasat Malaysia,” katanya.

Tegasnya, ahli Umno dan rakyat juga perlu bangkit untuk menolak campur tangan kuasa asing terutamanya daripada Amerika Syarikat dalam urus tadbir dan sistem politik negara.

Related Articles