Khairuddin tidak bersama parti baru Tun M

Bercakap melalui satu kenyataan hari ini, beliau berkata bahawa buat masa ini dirinya tidak berminat untuk menyertai parti baru tersebut namun akan tetap terus meneruskan perjuangannya menentang amalan rasuah di negara ini.

“Sebelum Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara bersendirian telah mengambil langkah proaktif memerangi skandal tersebut bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang.

“Sekiranya kita ikhlas untuk berjuang, tanpa sebarang jawatan politik pun kita boleh berjuang,” katanya yang juga bekas Naib Pengerusi UMNO Batu Kawan itu.

Khairuddin sebelum ini adalah individu yang sentiasa bersama Tun Mahathir dalam melancarkan serangan ke atas isu skandal 1MDB dan juga kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Dalam perkembangan yang sama, beliau menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Tun Mahathir meskipun beliau tidak bersama di dalam parti baru itu.

Malah beliau juga menyifatkan Tun Mahathir sebagai ‘segala-galanya’ buat beliau dan hubungan yang terjalin antara kedua individu itu tidak akan terpisah dan tetap terjalin erat.

“Tidak ada sesiapapun yang boleh pisahkan saya dengan Mahathir selain Allah Taala.

“Dalam apa jua situasi, saya akan tetap setia, taat kepada Mahathir atas dasar peribadi,” jelasnya.

 

Related Articles