Khairuddin pertikai pembatalan jemputan ke atas Tun M

Beliau menuntut penjelasan mengenai pembatalan tersebut sambil menegaskan Mahathir layak untuk menghadiri istiadat berkenaan yang dijadualkan berlangsung pada 13 Disember ini.

“Yang berbahagia Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah mantan perdana menteri paling lama di negara kita!

“Menjawat jawatan perdana menteri selama 22 tahun!,” katanya memetik kenyataan media yang diedarkan.

Khairuddin juga menegaskan keperluan untuk pihak istana bersikap berkecuali dalam politik.

“Kita mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan institusi raja-raja juga tidak terbabit dengan hal ehwal politik,” katanya lagi.

Dalam perkembangan yang sama, pakar perlembagaan, Abdul Aziz Bari berkata pihak istana perlu memberikan penjelasan mengenai tindakan menarik semula jemputan ke atas mantan perdana menteri itu.

Menurut beliau, Mahathir mempunyai hak untuk sama-sama berada di majlis berkenaa.

“Jika benar jemputan yang diberikan kepada Dr Mahathir telah ditarik balik, maka Majlis Raja-Raja atau Istana Negara perlu jelaskan perkara itu.

“Sebagai bekas perdana menteri dan memegang gelaran Tun, Dr Mahathir mempunyai hak untuk berada di sana,” katanya melalui satu kenyataan.

Menurut Aziz, istiadat pertabalan Agong adalah upacara penting bagi negara dan ia perlu mengatasi politik kepartian.

Pejabat Agong adalah simbol kuasa dan perpaduan negara dan bukan di bawah arahan atau pengaruh kerajaan semasa, katanya.

“Kita tak perlu keliru tentang tugas perlembagaan Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak mengikut nasihat kerajaan.

“Ini adalah sebahagian daripada kerajaan berparlimen, yang memerlukan kerajaan bertanggungjawab kepada ahli parlimen di Dewan.

“Tetapi ini bukan bermakna baginda adalah ‘rubber stamp’ dan tidak mempunyai maruah sebagai ketua negara,” kata Aziz.

Beliau berkata sudah tiba masanya Majlis Raja-Raja menegaskan kuasanya sebagai penjaga monarki.

Tambahnya, raja-raja tidak boleh membenarkan institusi itu dilihat sebagai jurucakap kerajaan.

Related Articles