Merujuk dua individu berkenaan sebagai ‘Ketua Pembangkang’ dan ‘pemimpin lama’, Najib melalui mesej radio terbaharunya mendakwa, proses menggugat keharmonian kaum oleh dua individu itu berlaku dalam beberapa fasa tertentu.
“Fasa pertama pada 2008, di mana ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman. Beliau mula mencabar Perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dan menggunakan ia sebagai isu politik untuk meraih undi.
“Sebelum ini tidak ada pun pertikaian pada Perlembagaan dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni. Kesannya, selepas pilihan raya umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum,” katanya, memetik laporan Sinar Online.
Menurut Najib, fasa kedua pula bermula pada tahun 2016 apabila ‘seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk satu lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah kepada lima’.
Beliau berkata, perpaduan bangsa yang longgar ditambah dengan desakan melalui perhimpunan yang berselindung di sebalik imej bipartisan dan kepelbagaian kaum memberi hentaman demi hentaman kepada parti pemerintah.
“Parti yang mentadbir Pulau Pinang, yang sudah didakwa mengamalkan rasuah, tidak diendahkannya.
“Lebih menyedihkan lagi, pemimpin lama itu sanggup dipergunakan oleh perhimpunan memecah belahkan rakyat ini, menuduh kerajaan perkara yang sama beliau dituduh dahulu,” katanya.
Najib yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ancaman fasa ketiga dijangka berlaku kerana kedua-dia individu itu kini dilihat berbaik-baik.
“Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan dua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya pada fasa ketiga.
“Kerana itulah, agenda 1Malaysia wajib diteruskan.” katanya.
Walaupun tidak dinamakan, umum sedia maklum dua individu yang dimaksudkannya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad, dua seteru politik yang dilihat bersalaman dan bekerjasama untuk menentang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).