Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, ketika ditahan oleh anggotanya, lelaki berusia 22 tahun itu meminta supaya ketua polis trafik bertemunya.
Bagaimanapun lelaki tersebut terus ditahan dalam dalam Op Roda yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di Jalan Yaakob Latif, di sini, jam 1.15 tengah hari Isnin lalu.
“Suspek memberitahu dia tidak mempunyai lesen memandu.
“Ketika anggota polis mahu mengambil tindakan saman, lelaki terbabit memberitahu dia adalah ketua gengster di Cheras selain mencabar anggota polis memanggil ketua polis trafik ke lokasi kejadian,” katanya.
Lelaki terbabit kini ditahan dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
“Pemeriksaan ke atas suspek mendapati dia memiliki 11 tatu di badan dan kes disiasat mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966,” katanya.