Ketua balai bomba diperintah bela diri atas tuduhan rasuah

Perkara itu diputuskan Hakim Nabisha Ismail ketika membaca keputusan yang dibuat Hakim Azhar Mokhtar dan menetapkan 23 Oktober ini untuk tertuduh membela diri.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan dihadapi tertuduh,” kata Hakim Nabisha ketika membaca keputusan tersebut.

Yaakob sebelum ini didakwa meminta suapan RM10,000 menerusi satu panggilan telefon kepada Jamat Harun sebagai dorongan membantu menutup siasatan kes polis ke atas anak lelaki lelaki berkenaan, pada pukul 7.46 malam pada 13 Oktober 2012.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah RM2,000 daripada lelaki sama di dalam bilik Ketua Balai Bomba di BBP Langkawi di Jalan Kasap, Langkawi pada pukul 3 petang keesokan harinya.

Bagi dua kesalahan itu, Yaakob dituduh mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Related Articles