Kesesakan lalu lintas di Wilayah Persekutuan selesai 5 tahun lagi, kata Ku Nan

Beliau berkata, kementeriannya juga sedang meneliti perancangan untuk mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian ke dalam ibu kota bagi mencapai hasrat itu.

“Saya sedar bahawa antara cabaran warga kota adalah kesesakan lalu lintas disebabkan pembangunan pesat membangun.

“Berilah sedikit waktu, saya yakin masalah ini akan terus berkurangan dalam tempoh lima tahun.

“Kami juga sedang lihat kaedah mengurangkan bilangan kenderaan persendirian memasuki bandar, itulah hasrat saya,” katanya, dalam wawancara eksklusif bersama Bernama.

Tambahnya, perkara itu akan dapat dicapai dan kementeriannya juga sedang memperkasakan sistem pengangkutan awam.

“Saya yakin kami mampu capai, sebab kami sedang laksanakan pelbagai insiatif ke arah itu, contohnya, memperkasakan sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan dan Mass iaitu LRT dan MRT.

“Di Putrajaya pula bermula Mac ini, kami akan laksanakan tempoh percubaan bagi perkhidmatan bas elektrik,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, masalah kos sara hidup juga menjadi perhatian kementerian tersebut dan mereka berusaha membantu kumpulan berpendapatan rendah.

“Kami sedang melihat bagaimana kami dapat mengatasi masalah yang dihadapi oleh warga Wilayah Persekutuan khususnya berkaitan kos sara hidup.

Kami dalam perancangan untuk mengeluarkan ‘Kad Ceria’ bagi membantu masyarakat membeli barang keperluan dengan kadar diskaun,” katanya.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata, kementeriannya juga melaksanakan program menyusuri kawasan daif dengan menghulurkan bantuan di bawah program Wilayah Prihatin.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga memperkenalkan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dengan membina 50,000 rumah mampu milik di Kuala Lumpur, 20,000 di Putrajaya dan 10,000 di Labuan.

“Ia dijual dengan harga amat berpatutan iaitu bawah RM300,000 dan ada juga rumah untuk golongan daif yang jual dengan harga RM42,000.

“Di Putrajaya, kami ada bas Nadi Putra yang pengguna bayar hanya 50 sen untuk pergi ke mana-mana lokasi di Putrajaya, manakala di Kuala Lumpur kami ada bas ‘GO KL’ yang tawarkan perkhidmatan percuma.

“Selain itu, bermula tahun ini, kami memberi perkhidmatan bas percuma ke sekolah bagi warga Projek Perumahan Rakyat atau Perumahan Awam, dalam membantu meringankan beban mereka.

“Kesemua inisiatif ini diharap membantu mengurangkan beban warga kota, apa pun banyak lagi perancangan lain yang akan dilaksanakan,” tambahnya.

Negara akan menyambut sambutan hari Wilayah 2017 pada 1 Feb tahun ini dengan kekal bertemakan ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

Dalam wawancara itu, Ku Nan turut berazam untuk menjadikan warga di tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sentiasa ceria dan dapat menangani masalah yang menghimpit mereka.

“Kami nak warga kota kita ini ceria kerana kami sedar sekiranya rakyat tidak ceria, ia akan membawa pelbagai masalah”.

Related Articles