Kata Khalid, pihaknya telah merakam kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun dan mendapati laporan tersebut dibuat berdasarkan andaian dan tiada sebarang bukti untuk menyokong dakwaan tersebut.
“Kita sudah rakam ucapannya, dan kita dapati Khairul buat cuma membuat laporan itu berdasarkan andaian.
“Dia tidak dapat mengemukakan apa-apa bukti untuk menyokong apa yang didakwanya dalam laporannya.
“Jadi PDRM tidak berhajat untuk meneruskan siasatan, kita telah memberhentikan siasatan,” katanya kepada wartawan.
Khairul sebelum dalam laporannya menamakan bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkonspirasi untuk menjatuhkan Najib dan kerajaan.
Ditanya sama ada Khairul akan didakwa kerana membuat laporan polis palus, Khalid berkata Naib Ketua Pemuda UMNO itu tidak akan disiasat.
“Tidak, dia mungkin baca laporan dari akhbar, dan dia mendengar cerita, dia ada sebab untuk buat laporan polis.
“Tetapi apabila kita temubual dia, kita mendapati apa juga yang dituduhnya itu cuma berdasarkan cakap dengar dan juga apa yang dia baca, jadi andaian kita tak boleh teruskan,” katanya.
Susulan daripada itu, Khalid menasihatkan pelbagai pihak supaya tidak membuat laporan polis sekiranya tidak mempunyai bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
“Kalau tidak ada alasan-alasan yang kukuh, jangan buat sebarang tuduhan. Jadi kalau benda itu apa orang kata tidak berasas, buang masa kita saja,” ujarnya.