PUTRAJAYA: Pejabat Peguam Negara memfailkan permohonan untuk mencabar pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja daripada pertuduhan membunuh CEO Cradle Fund, Nazrin Hassan enam tahun lalu.
Dalam notis yang difailkan pada 13 Feb itu, Pejabat Peguam Negara berkata pihaknya merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Feb yang mengekalkan pembebasan ketiga-tiga tertuduh itu.
Ketiga-tiga individu itu dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi, 14 Jun 2018.
Mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2022, Mahkamah Rayuan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah dan dua budak lelaki itu, yang kini berusia 22 dan 19 tahun.
Mahkamah Rayuan berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan semua unsur tuduhan bunuh itu.
Katanya, kes pihak pendakwaan juga tidak sempurna kerana tidak cuba mendapatkan keterangan wanita Indonesia itu walaupun pegawai penyiasat akui dia didapati bekerja di sebuah kedai kopi di Kuching.
Sidang hakim turut ambil maklum bahawa tidak ada hubungan buruk antara Samirah dan Nazrin. -Free Malaysia Today