Kerjasama PAS-PPBM hanya akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura

by SM Amin

Kata Zuhdi, segala cadangan dari PPBM berkaitan dengan bentuk-bentuk kerjasama dengan PAS dan GAGASAN SEJAHTERA (GAGASAN), akan diteliti oleh Jawatankuasa PAS Pusat (JKPP) dan kemudian akan dibawa ke Majlis Syura Ulama PAS (MSU).

“MSU lah yang mempunyai kata akhir untuk membenarkan kerjasama itu atau tidak.

“Sebelum ini MSU telah memutuskan hubungan tahaluf siyasi (pakatan politik) dengan DAP, yang boleh difahami juga sebagai haram bekerjasama dengan DAP.

“Berdasarkan keputusan MSU itu, tidak mungkin PAS akan berpatah balik untuk menjalin kerjasama dengan DAP secara langsung atau tidak langsung. Perkara ini pasti akan menjadi asas untuk JKPP dan MSU membuat keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Zuhdi, PAS sudah menyatakan komitmen mereka dalam blok GAGASAN yang turut dianggotai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

“Sekiranya keputusan nanti, PPBM akan dibenarkan bekerjasama dengan PAS iaitu bermaksud menyertai GAGASAN, akan ada pula proses membuat keputusan selanjutnya, iaitu mendapatkan persetujuan untuk menerima kemasukan parti baru.

“Oleh sebab itu, resolusi semalam masih jauh untuk dimuktamadkan,” katanya.

Turut sependapat dengan beliau Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan yang menegaskan bahawa polisi PAS ialah hasil perbincangan oleh wakil parti akan dibawa balik ke Mesyuarat PAS pusat untuk diputuskan MSU dalam perkara yang melibatkan hubungan dengan parti lain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Parti dibawah bidang tugas MSU.

“Ertinya sehingga kini tiada apa apa keputusan muktamad yang diputuskan mengenai hubungan PAS dan PPBM. Ia masih diperingkat perbincangan dan penilaian.

“Sementara itu, keputusan sikap semasa PAS terhadap DAP dan PAN adalah suatu yang telah dimuktamadkan bahawa PAS tiada apa apa hubungan dengan DAP dan juga PAN, justeru itu PAS tidak menyertai Pakatan Harapan,” ujarnya.

Related Articles