Kereta anak Maria Chin disimbah cat merah



Kejadian berkenaan berlaku di perkarangan rumah beliau sekitar jam 2.57 pagi tadi dan difahamkan pihaknya sedang melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh aktivis Bersih 2.0, Mandeep Singh melalui satu kenyataan.

“Sejak hari pertama tarikh himpunan aman BERSIH 5 diumumkan, serangan- serangan jijik, kotor dan ganas ini dilakukan terhadap Maria dan keluarganya.

“Malah, dua hari yang lalu, Maria Chin dan 3 anaknya bersama dengan Ambiga Sreenevasan dan Mandeep Singh turut diugut bunuh.

“BERSIH 2.0 menyeru semua pihak untuk menyatukan tenaga untuk menolak keganasan politik ini,” memetik kenyataan tersebut.

Dalam perkembangan berbeza, Mandeep turut memaklumkan bahawa pihak Bersih 2.0 akan menyerahkan satu memorandum mengenai setiap insiden yang berlaku kepada polis Bukit Aman pada jam 4 petang ini.

Sebelum ini, Maria dan rakan-rakan Bersihnya telah menerima ugutan bunuh.

Malah, gambar Maria telah disunting dengan memaparkan imej beliau akan dibunuh sepertimana tahanan IS diperlakukan.

Related Articles