Di sebalik keadaan kesihatan Seri Paduka yang tidak begitu mengizinkan, perdana menteri berkata Tuanku Abdul Halim merupakan seorang tokoh raja yang sangat tinggi semangat dan pekertinya.
“Baginda adalah seorang raja yang kompeten dan telah melaksanakan tugasnya sebagai raja berperlembagaan sepanjang lima tahun yang lepas,” kata Najib dalam ucapan perpisahan pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat tempoh pemerintahan Tuanku Abdul Halim, di Istana Negara.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
“Patik bagi pihak kerajaan dan seluruh rakyat jelata ingin merakamkan sebesar-besar penghargaan dan lafaz penghormatan yang tiada terperinya kepada Tuanku berdua, lantaran sepanjang tempoh pemerintahan telah menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Negara dan Raja Berperlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Najib.
Dalam ucapan bertema ‘Raja Berpengalaman dan Berjiwa Rakyat’ itu, Najib memanjatkan kesyukuran kerana amanah yang diterjemah dan dilunaskan itu telah berlangsung dengan sempurna sehingga ia mendatangkan kemuliaan dan kepujian kepada Seri Paduka dan Malaysia.
Turut hadir isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Perdana menteri seterusnya berkata beliau dan rakyat berasa bangga atas keprihatinan yang di-Pertuan Agong sebagai seorang raja berjiwa rakyat dalam memayungi pelbagai kerja amal dan kebajikan di Malaysia.
“Terbukti, sifat dan kasih sayang terhadap masyarakat ramai jelas dipamerkan oleh Tuanku apabila berangkat ke majlis-majlis rasmi mahupun temasya serta amat menyentuh sanubari rakyat jelata tanpa mengira kaum,” kata Najib.
Beliau turut menyanjung sikap Seri Paduka yang sentiasa menepati masa, dan menegaskan ia harus dicontohi rakyat.
“Tuanku tidak pernah lewat untuk menghadiri mesyuarat rasmi pada 8 pagi antara saya selaku Perdana Menteri dan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Rabu sebelum mesyuarat Kabinet,” kata Najib.
Setinggi-tinggi penghargaan turut ditujukan Najib bagi pihak kerajaan dan rakyat kepada Tuanku Hajah Haminah yang sentiasa berada di sisi Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas rasmi negara.
Majlis itu turut menyaksikan tepukan meriah ditujukan buat Seri Paduka berdua.
Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua pada 12 Disember 2016 dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
Tuanku Abdul Halim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975, dan Yang di-Pertuan Agong ke-14 berkuat kuasa 13 Disember 2011.
Najib berkata beliau bangga kerana Tuanku Abdul Halim telah menaungi dua era pemerintahan iaitu di zaman bapanya Tun Abdul Razak Hussein dan kini dalam tempoh kepimpinannya.
“Ini adalah keadaan luar biasa antara Allahyarham bapa saya dan Tuanku, dan sekarang antara saya dan Tuanku, seperti titah Seri Paduka, baginda tidak fikir situasi seperti itu akan berlaku lagi,” kata perdana menteri.
Menurut Najib, telah tersurat dan tertulis bahawa Seri Paduka bertakhta di kala bapanya dan beliau sendiri menjadi perdana menteri.
“Sesungguhnya bagi pihak diri saya, keluarga saya, kerajaan dan semua rakyat Malaysia,…kami akan merindui Tuanku sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Perdana menteri menarik perhatian bahawa Malaysia merupakan antara 43 negara di dunia yang mana sistem raja berperlembagaannya terus diiktiraf.
Dalam perjalanan sejarah kontemporari, Najib berkata Tuanku Abdul Halim merupakan raja kedua paling lama sedang bertakhta di dunia iaitu 58 tahun, selepas Ratu Elizabeth II yang kini mencecah tempoh 64 tahun.
Kata perdana menteri, rekod sebelumnya dipegang Raja Bhumibol Adulyadej dari Thailand yang mangkat pada usia pemerintahannya yang ke-70 tahun.
“Kita berasa bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan seorang raja yang sangat berpengalaman dan telah menyaksikan perjalanan Malaysia dalam pelbagai kapasiti,” kata Najib.
Beliau mengakhiri ucapan dengan pantun berbunyi:
Burung nuri terbang ke lembah,
Hinggap megah di tengah kota,
1Malaysia merafak sembah,
Daulat Tuanku Payung Mahkota.
Ampun Tuanku Seri Paduka,
Sembah takzim menjunjung tinggi,
Semoga karar di atas takhta,
Doa patik setulus hati.
– Bernama