Meskipun demikian, Azalina berkata sudah tiba masanya untuk undang-undang berkaitan ruang siber diteliti semula bagi menjaga keharmonian negara.
“Penelitian terhadap undang-undang siber ini perlu dibuat bagi melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa.
“Penelitian semula ini bertujuan mencari satu titik keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab pengguna,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, perkara ini diambil kira ekoran peningkatan trend serangan siber serta penyalahgunaan media sosial yang disifatkan beliau semakin berleluasa.
“Melihat kepada perkembangan hari ini, pengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun terdapat undang-undang yang mencukupi namun sudah masanya untuk kerajaan meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial.
“Tidak dinafikan manfaat media sosial sebagai ejen perhubungan yang mudah, cepat dan murah. Namun peningkatan trend serangan siber serta penyalahgunaan media sosial dilihat semakin berleluasa. Perkara itu menjadi antara kebimbangan kerajaan apabila melihat kepada ancaman semasa terutama dalam aktiviti keganasan,” katanya lagi.
Ahli Parlimen Pengerang itu juga menambah: “Selain itu juga, terdapat pihak-pihak tertentu menyalahgunakan media sosial untuk tujuan penipuan, merekrut pengganas, dan menanam kebencian terhadap kerajaan serta menganggu gugat keharmonian negara.”