Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan turut menetapkan beberapa syarat, termasuklah model perniagaan baru supaya ia berdaya maju dan saing.
“Kerajaan hari ini meluluskan permohonan Proton untuk mendapat pinjaman mudah berjumlah RM1.5 bilion. Pinjaman ini adalah sebahagian besarnya untuk membolehkan Poton membuat pembayaran kepada vendor-vendor yang membekalkan komponen kepadanya.
“Kerajaan juga bersetuju supaya beberapa syarat dikenakan untuk memulihkan perniagaannya. Di antara syarat-syaratnya ialah PROTON perlu meyakinkan Kerajaan tentang model perniagaan baharunya supaya perniagaannya berdaya maju dan berdaya saing,” kata Mustapa, dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Proton juga katanya diberikan syarat supaya mewujudkan pelan penstrukturan semula, menyediakan pelan strategik untuk memperluaskan pasaran di dalam dan luar negara; dan mendapatkan rakan kongsi asing terkemuka yang akan membantu dalam kajian dan pembangunan (R&D) dan menjadi syarikat yang berdaya maju serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Mustapa berkata, sebuah Pasukan Petugas diketuai oleh Datuk Sri Idris Jala, Ketua Eksekutif PEMANDU akan ditubuhkan untuk memastikan program transformasi itu berjaya.
“Pasukan ini akan mempunyai 3 wakil dari sektor swasta dan 3 wakil lagi dari sektor awam. Wakil-wakil kerajaan adalah bagi mewakili Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Unit Perancang Ekonomi; manakala, wakil-wakil sektor swasta akan dikenalpasti secepat mungkin,” kata Mustapa.
Selain daripada memastikan syarat-syarat pinjaman mudah dipatuhi, Pasukan Petugas ini juga dikehendaki meneliti model perniagaan Proton pada masa lalu, mengenal pasti kelemahan serta langkah-langkah untuk mengatasinya.
Mustapa berkata, kerajaan juga sedar bahawa industri automotif adalah sebuah industri yang strategik. dengan Proton mempunyai 12,000 orang pekerja yang bekerja secara langsung, dan kira-kira 50,000 orang lagi yang bekerja dengan syarikat-syarikat vendor yang bergantung kepada Proton.
“Keputusan Kabinet pada hari ini adalah juga bagi mengambil kira kebajikan kira-kira 60,000 orang pekerja yang bergantung secara langsung kepada masa depan Poton,” katanya.