Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ‘hadiah’ kerajaan Qatar kepada rakyat Malaysia itu diperolehi semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Qatar, Sheikh Abdullah Nasser Khalifa Al Thani, semalam.
“Perdana Menteri Qatar meluluskan permohonan saya itu serta merta selepas saya memaklumkan masalah yang sering dihadapi rakyat Malaysia terutama yang bekerja di negara ini” katanya pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia.
Pengumuman spontan Timbalan Perdana Menteri itu disambut gembira dengan tepukan gemuruh daripada hadirin termasuk Duta Besar Malaysia di Qatar, Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar.
Rakyat Malaysia sebelum ini perlu menduduki dan lulus ujian memandu sebelum boleh memandu kenderaan berikutan Qatar menggunakan sistem pemanduan sebelah kiri berbanding pemanduan di sebelah kanan di Malaysia.
Ahmad Zahid berkata hubungan istimewa antara Malaysia dan Qatar membolehkan beberapa kesulitan yang dihadapi oleh rakyat dan syarikat Malaysia diselesaikan segera tanpa melalui saluran diplomatik yang sulit dan lama.
Justeru, katanya, rakyat Malaysia di Qatar perlu menjaga imej dan reputasi baik sedia ada bagi memastikan keyakinan kerajaan Qatar terhadap negara tidak terjejas.
Menurutnya, hasil pertemuan beliau dengan beberapa pemimpin Qatar pada lawatan rasmi ini memperlihatkan bahawa kerajaan Qatar memandang tinggi sumbangan rakyat dan keupayaan syarikat Malaysia.
Katanya, tenaga kerja Malaysia di Qatar terdiri daripada kumpulan teknikal dan profesional dan bukannya kalangan buruh atau pekerja tidak terlatih seperti dari negara lain.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, tiba di Qatar Sabtu bagi lawatan kerja empat hari atas undangan Sheikh Abdullah Nasser.
Sementara itu, Presiden Persatuan Malaysia-Qatar, Ahmad Hasnan Mohd Zaki berkata penggunaan lesen memandu Malaysia itu akan banyak membantu rakyat Malaysia yang baru tiba di negara ini.
Katanya, sebelum ini rakyat Malaysia terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat bulan dan membelanjakan kos $2,500 Riyal (RM3,036) untuk menduduki ujian memandu tempatan. –Bernama