SHAH ALAM: Sejumlah RM69.5 juta diperuntukkan untuk baik pulih dan penyelenggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) TUDM, tahun ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin.
Jumlah itu katanya adalah sebahagian daripada keseluruhan pembaikan dan penyelenggaraan RKAT untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berjumlah RM400 juta bagi 2024.
“Daripada RM69 juta untuk TUDM, RM7.01 juta untuk selenggara di TUDM Subang. Kita beri perhatian serius soal ini kerana kita percaya ia membantu kesejahteraan anggota, itu sangat penting, ia libatkan soal rumah.
“Dengan rumah yang sempurna, anggota boleh bina keluarga bahagia dan dalam jalankan tugas tak perlu fikir keselamatan keluarga, atas dasar itu kerajaan prihatin lihat keadaan dan sudah tiba masanya rumah ini sebagian besar di naik taraf dan diselenggara,” katanya.
Menurut Khaled, terdapat kira-kira 185 unit kediaman dikenal pasti memerlukan penambahbaikan dan penyelenggaraan di TUDM Subang.
“Tahun ini kita bernasib baik ia disalurkan awal tahun jadi saya percaya ia dapat disempurnakan ikut jadual tahun ini. RM400 juta akan digunakan tahun ini juga,” katanya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 mengumumkan kerajaan telah menyediakan sejumlah RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua RKAT seluruh negara.
Jumlah itu adalah peningkatan berbanding RM200 juta diumumkan dalam bajet tahun sebelumnya.
Selain itu sejumlah RM20 juta turut disediakan untuk menaik taraf sistem pembentungan Kem Tentera Darat secara berfasa. –Free Malaysia Today