Kerajaan Malaysia akan beri kerjasama isu 1MDB

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin berkata, dalam hal ini pihak berkuasa Malaysia telah mendahului dalam siasatan terhadap 1MDB.

“1MDB terdahulu telah menjadi subjek siasatan dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara, dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, selepas semakan komprehensif mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan 1MDB dan syarikat itu masih disiasat oleh Polis Diraja Malaysia.

“Namun seperti yang telah ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bahawa undang-undang akan dikuatkuasakan, tanpa pengecualian, jika terbukti berlaku sebarang salahlaku,” katanya dalam satu kenyataan medianya, pada Khamis.

Tengku Sarifuddin berkata, saman Jabatan Kehakiman AS itu difailkan terhadap produser filem The Wolf of Wall Street ke atas pelbagai aset.

Jabatan Kehakiman AS, dalam samannya yang difailkan di California semalam, memohon untuk merampas sejumlah 17 aset termasuk hartanah mewah dan sebuah jet.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Los Angeles itu menyatakan bagaimana hartanah itu didakwa dibeli di Amerika Syarikat, Switzerland dan United Kingdom daripada dana yang dialihkan dari 1MDB.- Sinar Harian

Related Articles