PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melanjutkan subsidi tiket kapal terbang bagi perjalanan sehala kelas ekonomi dari Semenanjung ke Malaysia Timur sempena Aidilfitri kepada sehari lagi.
Sebelum ini, tambang subsidi hanya terpakai untuk penerbangan dari 7 hingga 9 April. Kini, tambang penerbangan maksimum RM599 boleh dinikmati oleh penumpang untuk penerbangan dari 6 hingga 9 April.
“Ini akan membantu penumpang yang terpaksa membeli tiket penerbangan pada saat akhir, atau di laluan dengan permintaan tinggi, untuk pulang ke kampung halaman,” kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada sidang media.
Beliau berkata ini lanjutan itu akan menelan belanja tambahan sebanyak RM1.8 juta.
Pada Disember yang lalu, Loke mengumumkan bahawa mereka yang pulang ke Malaysia Timur dari semenanjung semasa musim perayaan hanya perlu membayar maksimum RM599 untuk tambang penerbangan mereka, bermula dari Hari Krismas.
Beliau berkata kerajaan akan menampung perbezaan bagi tiket yang berharga lebih daripada RM599, tidak termasuk cukai dan yuran.
Ini akan diperluaskan kepada musim perayaan lain, termasuk Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan, dan Gawai.
Pada sidang media hari ini, Loke juga mengumumkan bahawa Keretapi Tanah Melayu Berhad akan menyediakan enam perkhidmatan tambahan kereta api elektrik (ETS) dari 4 hingga 15 April, melibatkan 1,260 tiket sehari atau 15,120 tiket tambahan.
Beliau berkata perkhidmatan tambahan ini akan merangkumi dua kereta api untuk setiap laluan KL Sentral-Padang Besar, KL Sentral-Butterworth, dan KL Sentral-Ipoh.
“Jumlah keseluruhan tiket ETS yang ditawarkan, termasuk kereta api biasa dan tambahan, untuk musim Aidilfitri ini adalah 135,000 tiket,” katanya. -Free Malaysia Today