NILAI: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bersempena dengan Aidilfitri melibatkan 22 barangan dilaksanakan selama 15 hari bermula 5 hingga 19 April.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata barangan di bawah skim itu termasuk daging lembu tempatan kecuali daging batang pinang, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, ikan selayang, ikan tongkol dan ikan demuduk.
Barangan lain termasuk tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, bawang besar merah import, bawang besar kuning, bawang putih China, bawang kecil merah India, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji dan kelapa parut.
“Skim ini dilaksanakan bagi mengelakkan harga barangan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab terutamanya kepada barangan yang mempunyai permintaan tinggi seperti daging, bawang dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Armizan berkata, SHMMP itu dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan membolehkan penentuan harga dibuat terhadap peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) turut melaksanakan pemantauan berterusan untuk memastikan keberadaan bekalan barangan adalah mencukupi.
Menurutnya, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pemilihan barangan ini juga berdasarkan penglibatan serius dilakukan bersama pihak industri iaitu pengeluar dan pemborong … kita harapkan skim ini dapat mengurangkan beban ditanggung masyarakat dalam persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai harga ayam walaupun tidak tersenarai dalam skim berkenaan, Armizan percaya harga ditawarkan oleh peniaga bersempena dengan musim perayaan ini adalah stabil.
“Hasil pemantauan kita, harga ayam di pasaran dan jaminan daripada (KPKM), bekalan ayam mencukupi … jadi kita lihat harga ayam di pasaran adalah stabil.
“Sekiranya mendapati berlakunya kenaikan harga ayam yang tidak wajar, aduan boleh dilakukan melalui portal KPDN dengan menyatakan maklumat tepat supaya tindakan segera dapat dilakukan mengikut AKHAP 2011,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 32,348 premis diperiksa di seluruh negara dalam Op Pantau bermula 12 Mac hingga semalam membabitkan nilai kompaun RM19,100.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 146 kes dikesan menerusi 1,030 laporan diterima melibatkan pelbagai kategori aduan.
Op Pantau bertujuan memantau aktiviti perniagaan sepanjang Ramadan dan Syawal dengan penguatkuasaan dijalankan secara berfokus di bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam dan basah, pasar raya besar, kedai runcit dan penjualan dalam talian. – Bernama