Kerajaan DAP P.Pinang kemuka bantahan persempadanan SPR

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bagaimanapun wakil rakyat PKR di negeri ini tidak mengemukakan bantahan berhubung perkara itu.

PKR menguasai tiga kawasan Parlimen dan 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini dan difahamkan kesemua kawasan itu tidak terjejas dengan cadangan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu.

“Saya dimaklumkan wakil rakyat PKR tidak mengemukakan bantahan… saya tidak diberitahu mengapa mereka (PKR) tidak membuat bantahan tetapi saya yakin mereka akan mengumumkan sebab tindakan mereka dalam tempoh terdekat,” katanya pada sidang akhbar di Georgetown pada Jumaat.

Katanya, borang bantahan urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya itu dibuat menerusi saluran kerajaan negeri dengan disokong oleh beberapa ahli Parlimen dan ADUN.

Guan Eng berkata, mesyuarat Exco negeri turut melantik tiga wakil rakyat sebagai jawatankuasa penyelaras iaitu ahli Parlimen (MP) Tanjong, Ng Wei Aik; MP Bukit Mertajam, Steven Sim dan MP Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa bagi membantu kerajaan negeri mengkaji kajian persempadanan semula itu.

Bulan lepas, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.

Hari ini 14 Oktober, adalah hari terakhir yang diberikan oleh SPR untuk semua pihak untuk memgemukakan bantahan masing-masing. – Bernama

Related Articles