Kerajaan BN berdusta guna SOSMA tahan pengerusi BERSIH

Wan Azizah berkata, pihaknya mengecam penahanan tersebut dan akan terus mendesak pembebasan Maria yang ditahan Jumaat lalu.

“Terang lagi bersuluh, pemerintah telah mendustai janji mereka untuk hanya menggunakan SOSMA dalam menangani aktiviti keganasan. Adakah pemerintah menanggap gerakan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil sebuah aktiviti keganasan?

“Saya dengan ini mengecam sekeras-kerasnya penahanan para demokrat BERSIH 5 di bawah Ops Bersih yang dilakukan oleh pemerintah. Dan walaupun hampir kesemua tahanan baru sahaja dilepaskan jam 12 tengah hari tadi, kita tidak akan hentikan desakan sehingga Maria Chin Abdullah juga dibebaskan!,” katanya melalui satu kenyataan pada Isnin.

Ketua Pembangkang itu juga berkata, perhimpunan BERSIH 5 yang berlangsung pada Sabtu lalu merupakan satu kejayaan besar dalam menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Meskipun berlaku pertembungan dengan kumpulan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Md Yunos, Wan Azizah memuji para demonstran yang berhimpun dan berarak secara aman.

“Sekali lagi pemerintah gagal menghormati hak bersuara dan berhimpun dengan aman seperti yang termaktub dalam undang-undang dan perlembagaan.

“Malah penangkapan-penangkapan berlaku sebelum, semasa dan selepas perhimpunan aman BERSIH 5. Kita juga difahamkan oleh Menteri Dalam Negeri bahawa wujud senarai panjang mereka yang akan ditangkap serta ramai lagi aktivis-aktivis, mahasiswa dan ahli-ahli politik akan ditahan.

“Begitulah keadaannya di negara kita ini. Para demokrat dipenjara, sang kleptokrat bermaharaja-lela.

“Pihak pemerintah juga telah menahan tiga Ahli Parlimen; Saudara Tian Chua, Saudara Anthony Loke dan Puan Zuraida Kamaruddin dan seorang ADUN; Saudara Howard Lee. Mereka ditahan reman selama dua hari,” tambah Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Maria dan beberapa pemimpin pembangkang telah ditahan polis pada Jumaat lalu di pejabat BERSIH 2 di Petaling Jaya.

Selain daripada penahanan tersebut, pihak polis turut merampas beberapa barangan daripada pejabat tersebut termasuk 10 komputer riba dan penyata bank.

Related Articles