Perkara berkenaan disahkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan menyatakan bahawa usaha berkenaan akan berjaya jika hanya deradikalisasi yang diusahakan Wisma Putra berjaya sepenuhnya.
Beliau berkata, usaha sudah dilakukan tetapi peraturan dan perundangan Amerika Syarikat (AS) menentukan mereka terus ditahan.
Tambahnya, Malaysia telah menghantar tiga pegawai iaitu dua dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seorang dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke Guantanamo, Cuba atas permintaan Jabatan Negara AS dan sudah menemui tahanan terbabit.
“Kita sudah menawarkan supaya usaha deradikalisasi dilakukan terhadap tahanan Malaysia di sana.
“Kita yakin dengan operasi prosedur standard yang dibuat, ia akan membuka jalan bagi meletakkan tahanan terbabit supaya usaha deradikalisasi akan dapat menukar pendirian mereka walaupun laporan diperoleh menunjukkan pemikiran mereka tidak banyak berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Serbia, Ivica Dacic di New York, pada Rabu.
Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Ramlan Ibrahim.
Ahmad Zahid juga menjelaskan lanjut mengenai dua rakyat Malaysia yang ditahan di Guantanamo sejak hampir sedekad lalu, mungkin kekal dalam tahanan Jabatan Pertahanan AS (DOD).
DOD, dalam penilaian pada Mac, memutuskan bahawa Mohammed Bashir Lap dan Mohd Farik Amin, yang dipenjarakan di kemudahan tentera laut Amerika sejak September 2006 kerana menyerang kepentingan republik itu dan terbabit dalam pengeboman Bali pada 2002, mungkin menyambung semula kegiatan mereka jika dibebaskan.
Timbalan Perdana Menteri berkata, mesyuarat Antarabangsa Menentang Keganasan (IMCT) di Bali, Indonesia baru-baru ini menerima cadangan Malaysia menubuhkan Sekretariat Deradikalisasi peringkat dunia bagi memerangi ancaman keganasan antarabangsa oleh kumpulan radikal dan pengganas.
Katanya, sekretariat itu akan diletakkan di bawah kelolaan Pusat Serantau INTERPOL (Polis Antarabangsa) di Singapura.