Kerajaan belum putuskan syarikat pengendali MNO dwirangkaian 5G -Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA: Kabinet masih belum memutuskan syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan kekal bersama Digital Nasional Bhd (DNB) atau satu lagi entiti yang dibentuk bagi pelaksanaan dua rangkaian 5G negara apabila kerajaan beralih kepada model dwirangkaian 5G kelak.

Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata perbincangan mengenai satu lagi syarikat rangkaian perkhidmatan itu masih berjalan dan belum ada kata putus mengenainya.

Katanya, perbincangan kini tertumpu bagi penubuhan satu lagi rangkaian selain DNB seperti diputuskan pelaksanaan dwirangkaian untuk 5G pada tahun lalu.

“Perbincangan menentukan syarikat MNO yang akan kekal bersama DNB dan satu lagi syarikat rangkaian itu iaitu separuh bersama DNB dan separuh lagi ke satu lagi entiti masih berjalan.

“Pada masa sama, liputan rangkaian 5G masih kekal pada kadar 80.2 peratus seperti dicatatkan Disember lalu,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Kerajaan memutuskan melaksanakan rangkaian 5G beralih daripada liputan rangkaian tunggal kepada dua pada Mei tahun lalu.

Ketika mengumumkan langkah itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dwirangkaian itu dibuat berdasarkan beberapa justifikasi termasuk memecahkan monopoli dipegang rangkaian tunggal kerajaan dan membolehkan penyertaan dan persaingan lebih berkesan.

Sebelum ini dilaporkan kerajaan akan memulakan perkhidmatan dwirangkaian 5G apabila negara mencapai 80 peratus liputan kawasan berpenduduk.

Kerajaan juga menyatakan komitmen peralihan kepada model dwirangkaian akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan pada peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian bukan saja untuk rakyat, malah juga untuk sektor perindustrian yang menjadi antara kumpulan sasar penggunaan teknologi 5G.

Model dwirangkaian itu turut mengambil kira kemampanan ekosistem industri telekomunikasi di Malaysia, sekali gus menamatkan unsur monopoli yang sering dikaitkan dengan DNB.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, apabila model dwirangkaian itu dilaksanakan nanti, kawal selia sektor telekomunikasi terletak di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Kementerian Komunikasi.

Katanya, bagi meneliti pengoperasi DNB pula, ia tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Digital. -Berita Harian

Related Articles