Kerajaan Akan Kaji Semula Gaji Minimum

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

“Untuk makluman, pada tahun ini, berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732), kadar gaji minimum akan dikaji semula.

“Kita akan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk pihak majikan dan pekerja serta menjadikan rujukan laporan-laporan sosio ekonomi seperti laporan Bank Negara yang dinyatakan oleh Yang Berhormat (YB) Batang Sadong,” katanya.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada pertanyaan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) yang membangkitkan isu berdasarkan cadangan Bank Negara dan projek Belanjawanku iaitu projek celik kewangan kelolaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). –Berita Harian Online

Related Articles