Keputusan rayuan pendakwaan kes bunuh CEO Cradle Fund diketahui esok

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan esok mengenai rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Keputusan itu dijadualkan disampaikan di mahkamah terbuka pada 2 petang oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan Azhahari Kamal Ramli.

Pada hari sama, mahkamah juga akan menyampaikan keputusannya terhadap rayuan mereka bertiga untuk mencabar beberapa penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi, termasuk kebakaran di bilik Nazri “dilakukan dengan sengaja”.

Sekiranya keputusan memihak kepada pendakwaan, kes itu akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan Samirah serta dua remaja terbabit perlu membela diri.

Jika tidak, pembebasan terhadap ketiga-tiganya kekal.

Pada 23 Oktober lalu, panel tiga hakim menangguhkan keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Peguam, Tan Sri Shafee Abdullah yang mewakili Samirah dan dua remaja itu, melengkapkan hujahannya pada 23 Okt, manakala pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim selesai hujahan pada 17 Okt.

Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Samirah, 49, yang juga balu Nazrin serta dua remaja kini berusia 21 dan 18 tahun, daripada pertuduhan membunuh Nazrin selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka pada akhir kes.

Ketiga-tiganya bersama seorang wanita Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, didakwa membunuh Nazrin, 45, di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 12 Jun 2018 hingga 4 pagi keesokannya.

Pada 30 Jun 2022, Samirah dan dua remaja itu memfailkan rayuan untuk mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi. -Bernama

Related Articles