Keputusan Lepas, Bebas Samirah, Dua Remaja Kekal

by Anis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Samirah Muzaffar dan dua remaja atas tuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Keputusan tersebut dibuat sebulat suara oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim serta Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Vazeer ketika membaca keputusan penghakiman berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes berkenaan prima facie.

“Kami mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan sebarang kes prima facie dan kami mengekalkan keputusan mahkamah terdahulu,” ujar Hakim Vazeer Alam.

Terdahulu, Samirah dan dua remaja berusia 18 dan 21 tahun serta seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin, 45, di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Kemudian pada 21 Jun 2022, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Ab Karim Ab Rahman melepas dan membebaskan Samirah dan dua remaja berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Sementara itu, peguam bela Samirah, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika ditemui selepas prosiding sebentar tadi menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini secara jelas menyerlahkan bukti tiada unsur bunuh dalam kematian Nazrin enam tahun lalu.

Beliau turut menganggap perkembangan itu membuktikan pendirian bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebelum ini bahawa kes tersebut mencurigakan adalah salah.

β€œIni adalah satu kes yang berhasil daripada bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas yang menulis ada macam curiga dalam kes ini. Kita berjaya buktikan bahawa dia salah banyak. Tiada pembunuhan, tiada petrol,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Related Articles