Kenyataan tak sensitif Jeff Ooi bukan wakili DAP, tegas Guan Eng

Lim berkata, kenyataan Jeff itu tidak mewakili suara DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut melahirkan kekesalan kepada keluarga Allahyarham di atas kenyataan tersebut.

“DAP kesal dengan kenyataan tidak sensitif Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berhubung kembalinya ke rahmatullah Mursyidul Am PAS, Allahyarham Dr Haron Din semalam. Saya ingin memaklumkan bahawa Jeff telah mamadamkan perkongsian Twitter terbabit.

“Saya juga ingin melahirkan rasa kesal terhadap ahli keluara sekiranya tersinggung dengan apa yang berlaku berkaitan tweet Jeff kerana ini tidak mewakili pendirian parti,” kata Lim dalam satu kenyataan malam tadi.

Dalam kenyataannya itu, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan turut berkata DAP mengucapkan takziah dan simpati atas kesedihan yang ditanggung ahli keluarga serta rakan-rakannya.

“Meski kami sering berbeza pendapat dalam banyak hal politik, DAP yakin dan percaya bahawa Allahyarham telah menyumbang kepada agama Islam.

“Sekali lagi saya menitipkan belasungkawa buat Allahyarham sekeluarga bagi pihak seluruh keluarga besar DAP, dan berharap agar rohnya ditempatkan bersama para orang soleh,” kata Lim.

Dalam kenyataan berasingan, Jeff yang sebelum ini dilaporkan berkata akaun laman sosialnya itu dimanipulasi telah menukar kenyataannya.

Beliau sebaliknya dilaporkan The Star menafikan akaun Twitter miliknya digodam.

“Saya mempunyai kawalan penuh ke atas maklumat yang mengalir melalui Facebook dan Twitter saya yang boleh diperiksa dalam talian. Sumber lain bukan dari saya.

“Saya daripada industri IT, saya tahu akaun Twitter saya tidak pernah digodam. Saya punya kawalan penuh,” katanya memetik laporan tersebut.

Related Articles