Kenyataan Anwar Terhadap Daim Prejudis

KuALA LUMPUR: Pasukan peguam yang mewakili bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai sangat prejudis.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh berkata, Anwar secara berterusan dan berterusan menyerang Daim yang mana ia tidak sepatutnya berlaku.

“Anwar sengaja memberi gambaran buruk terhadap anak guam kami sambil membayangkan beliau telah bersalah melakukan jenayah walhal sehingga kini mahkamah tidak pernah sabit salah dengan apa-apa kesalahan oleh Mahkamah.

“Perdana Menteri cuba pengaruhi rakyat terhadap Tun Daim dengan sengaja kritik pembangkang yang didakwa membisu berhubung siasatan. Mengapa perlu Anwar gesa pembangkang sokong tindakan SPRM?

“Ada proses undang-undang yang telah ditetapkan di bawah Akta SPRM mengenai siasatan. Ini tidak langsung melibatkan Perdana Menteri buat kenyataan menghasut terhadap individu yang sedang berdepan siasatan. Sepatutnya bukankah proses ini berlangsung tanpa tekanan atau pengarah luar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rajesh dan Sachpreetraj merujuk kepada kenyataan Anwar bahawa pembangkang bersikap membisu terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat golongan ‘maha kaya’ yang dikaitkan dengan isu rasuah ketika ini.

Menurut meraka, adalah tidak wajar untuk seseorang yang berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri membuat kenyataan prejudis terhadap siasatan dan bicara mahkamah yang belum selesai.

“Kita harap Anwar akan berhenti buat kenyataan seperti ini. Di Malaysia, setiap individu berhak mendapat perbicaraan adil dan bebas daripada sebarang campur tangan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Related Articles