Kenya contohi program UTC Malaysia

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Kenya, Prof Margaret Kobia, berkata beliau mendengar mengenai inisiatif itu buat pertama kalinya pada Persidangan Pertubuhan Komanwel untuk Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) edisi lalu, yang dihoskan Malaysia dan kemudian mereplikakan inisiatif itu di negaranya.

“Saya gembira melihat bagaimana Malaysia menggerakkan perkhidmatan awamnya untuk kebaikan rakyat.

“Sejak itu, kami telah membuka 40 pusat di seluruh Kenya yang memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan mendapat manfaat daripada inisiatif itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Resepsi Setiausaha Agung Komanwel di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu.

Majlis Resepsi itu diadakan menjelang Persidangan Dwitahunan CAPAM, yang berlangsung di PICC mulai hari ini hingga 20 Ogos ini.

Kobia yang juga Ketua Delegasi Kenya ke CAPAM berkata, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) oleh Malaysia mendapat maklum balas yang hebat daripada semua delegasi dan mereka berhasrat melaksanakan inisiatif itu di negara mereka.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Solomon Islands, Eliam Tangirongo, juga menyuarakan kekagumannya dengan perancangan Malaysia dalam NBOS.

“Ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sesi perkongsian menunjukkan kejayaan program transformasi yang diamalkan di sini.

“Saya akan membawa balik semangat NBOS ke negara saya dan saya percaya ia akan membantu Solomon Islands menjadi sebuah negara membangun daripada berpendapatan pertengahan kepada negara yang mapan (ekonominya),” katanya.

Tangirongo juga percaya Malaysia akan mencapai Wawasan 2020 menerusi pelaksanaan strategik di bawah NBOS. – Bernama

Related Articles